BERITA TERKINI


Kepada para pengunjung yang ingin mendapatkan perkhidmatan kami, berikut adalah prosedur yang perlu anda ketahui.          


TEMUJANJI


Untuk memulakan sesi kaunseling, satu temujanji akan diadakan di antara kaunselor dan klien di mana kontak pertama ini seharusnya berterusan sehingga matlamat kaunseling tercapai, dan memerlukan pengisian borang e-kaunseling.


PROFIL KLIEN


Sebelum proses kaunseling bermula, kaunselor akan meneliti profil lengkap klien terlebih dahulu untuk memudahkan kaunselor melakukan penerokaan.


CONTOH KES YANG DIAMBIL DALAM METRO RENDAH DIRI MUKA BERJERAWAT


SAYA berusia 15 tahun. Apa yang membingungkan ialah muka penuh jerawat. Walaupun jerawat tumbuh tidak banyak, saya malu dengan kawan dan berasa sangat rendah diri. Adakalanya, saya tidak mahu keluar rumah sedangkan dulu saya tidak begini. Tolong saya Dr kerana tidak mahu terus terbeban dengan masalah ini dan kehilangan rakan.


TEORI YANG DIGUNAKAN DALAM KAUNSELING 
Untuk menjayakan sesi kaunseling yang diadakan, kaunselor perlu memilih teori tertentu untuk membuktikan keberkesanan proses dan memadankannya dengan realiti dan kepercayaan peribadi kaunselor tentang sifat semulajadi manusia dan perubahan mereka. Teori yang dipilih dapat menolong kaunselor dan membantu klien secara berkesan untuk mengubah tingkahlaku, pemikiran dan menangani emosi.  


CONTOH MAKLUM BALAS OLEH DR. SAPORA SIPON


Dalam kes diatas, biasanya pada peringkat umur ini, remaja akan mengambil berat mengenai pertumbuhan fizikal mereka. Remaja akan berasa sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian orang ramai. Segala gerak-geri dan pertumbuhan fizikal dirasakan menjadi tontonan. Tidak hairan jika melihat remaja sanggup berdiri lama depan cermin semata-mata untuk melihat dirinya. Ia adalah normal. Namun, jika adik terlalu obses dengan perasaan malu ini, tindakan segera perlu diambil. 


Dalam menangani perasaan malu, adik boleh menanganinya dengan memberitahu diri bahawa rakan berkawan bukan disebabkan jerawat. Seseorang digemari kerana banyak perkara, antaranya sikap pandai bergaul, saling menghormati, tidak sombong dan suka menolong. Orang lain akan melihat pada sikap baik ini daripada melihat kewujudan jerawat di muka.  


Kebiasaannya, orang lain juga sibuk memikirkan mengenai diri mereka hingga tidak memberi perhatian besar kepada perkara remeh. Jangan terperanjat jika ada kawan yang langsung tidak perasaan jerawat di muka adik kerana mereka juga sibuk memikirkan diri mereka. Adik juga boleh merasionalkan pemikiran dengan mengatakan jika kawan mentertawakan muka adik kerana ditumbuhi jerawat, biarkanlah. Mereka hanya boleh ketawa tapi sampai bila? Satu lagi cara untuk adik menghilangkan rasa malu ialah dengan menukar pemikiran bahawa jerawat yang tumbuh itu membuatkan adik lebih kelihatan kacak dan menarik. Ini salah satu mekanisme bela diri adik untuk mengurangkan rasa malu yang dialami. 


Kaunselor telah memilih untuk menggunakan pendekatan humanistik melalui Teori Pemusatan Perorangan di dalam sesi kaunseling. Teori pemusatan perorangan telah diasaskan oleh Carl R.Rogers. Teori ini menekankan bahawa perubahan boleh berlaku di dalam diri manusia kerana manusia hakikatnya memiliki desakan semulajadi untuk majukan diri dan bergerak ke arah kesejahteraan serta mempunyai nilai positif dan negatif terhadap pengalaman.  


Anggapan penghargaan terhadap diri mempengaruhi tingkahlaku. Konsep kendiri terbentuk hasil persepsi individu berhubung dengan pengalaman positif atau negatif. Individu boleh mengasingkan pengalaman positif dan negatif. Ia boleh menolak, menerima dan memberi erti yang bermakna terhadap pengalaman dalam pembentukan konsep kendiri. Jika kehendak desakan tidak tercapai ia akan memendam pengalaman. Ia menganggap orang lain tidak dapat menerima secara positif desakan tadi dan menghasilkan konsep kendiri yang negatif. Ini menimbulkan konflik antara kendiri ideal dan kendiri sebenar.


  • Individu menerima syarat-syarat penilaian yang telah dipelajari agar diterima oleh orang lain. Syarat-syarat ini lebih menguasai desakan. 
  • Konflik berlaku kerana tidak kongruen antara kendiri dengan pengalaman. Konflik adalah ancaman kepada pertumbuhan individu dan menimbulkan helah bela diri.

 MENEROKA DAN MENGANALISIS MASALAH 

Interaksi akrab antara kaunselor dengan klien menjadi pemangkin perubahan dalaman klien. Konsep kendiri individu merupakan tunjang pembentukan personaliti individu. Pengurangan jurang antara kendiri ideal dan kendiri sebenar adalah permulaan perubahan tingkahlaku klien. Proses kaunseling adalah tanpa arahan iaitu kaunselor tidak membuat keputusan untuk klien sebaliknya klien yang perlu memilih sendiri keputusan dan matlamat yang ingin dicapai dalam hidupnya. Penerimaan tanpa syarat, tulin/kongruen dan empati adalah kunci utama proses kanseling menggunakan teori pemusatan perorangan.


 MENGUMPUL SEBERAPA BANYAK MAKLUMAT YANG BERKAITAN 

Untuk memahami diri klien yang masih remaja, kaunselor perlu membuat beberapa kajian tentang remaja dan ciri-cirinya. Terdapat beberapa teori dari barat yang memberi pendapat tentang remaja.


MENGENALPASTI PUNCA MASALAH 

Remaja sedang mengalami fasa perubahan, di mana kadangkala remaja mengalami masalah konflik diri dan mencari-cari identiti diri. Keperluan diri mula bertambah dan remaja mula meminta pandangannya dihormati sedangkan sekelilingnya menolak. Emosi remaja umumnya tidak stabil pada peringkat ini dan kefahaman yang tinggi daripada ibu bapanya amatlah perlu dalam menangani sebarang isu yang dikemukakan.  

 MENGAMBIL TINDAKAN DAN MENGHURAI ALTERNATIF

Peranan Klien. 

a)    Klien harus melakukan sesuatu untuk mengelakkan berlakunya konflik dengan ibu bapa. Setiap masalah yang timbul boleh dibincangkan bersama kerana masalah yang kecil boleh menjadi masalah yang  besar jika tidak diselesaikan secara rasional. 

b)   Klien harus berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan terutama apabila berselisih faham dengan ibu bapa. Klien harus mendapatkan nasihat daripada guru atau rakan-rakan yang berpesonaliti positif. 

c)    Mengambil kira segala keperluan dan mengelak daripada melakukan sesuatu di luar kemampuan atau melakukan terlalu banyak perkara dalam kehidupan. 

d)   Klien perlu membuat perancangan dan jadual harian untuk mengawal kegiatan. Kehilangan kawalan dalam kehidupan akan membawa tekanan. Ini termasuk mencatat segala perkara yang akan dilakukan setiap hari. 

e)    Membuat persiapan untuk menghadapi krisis dan ini membantu meningkatkan kesabaran dalam diri. 

f)     Mencari alasan yang rasional apabila menghadapi sesuatu perkara yang tidak disukai atau diduga. 

g)   Mencari masa yang tenang untuk melihat diri sendiri dan memeriksa diri sendiri. Ini termasuk menunaikan solat dengan tekun dan khusyu'. 

h)   Penyimpangan daripada tekanan harian secara kreatif dengan memilih waktu untuk bercuti, bergiat dalam hobi dan melakukan kerja sosial yang berfaedah. 

PENYELESAIAN MASALAH

Kaunselor serta klien akan membincangkan masalah yang dihadapi bersama-sama.


PENAMATAN SESI 

Menurut ELLIS AND BERNARD, 1985, seseorang individu dianggap memiliki psikologi yang sihat sekiranya memiliki ciri-ciri berikut:

a)    Kepentingan Diri.-Melebihkan sedikit daripada kepentingan orang lain.
b)   Sanggup berkorban kepada orang yang disayangi secara munasabah.
c)    Berminat Sosial-Boleh hidup bersosial dengan baik.
d)   Arahan Kendiri-Tahu tanggungjawab dan boleh menguruskan diri sendiri.
e)    Tahap Toleransi Kekecewaan yang Tinggi
f)     Memberi hak kepada diri dan orang lain untuk membuat kesilapan.-Walaupun benci tetapi tidak membuat kutukan atau penghinaan. Bijaksana membezakan rasional dan tidak rasional. Tidak mudah terperangkap dengan perkara negatif.
g)   Fleksibel-Terbuka kepada perubahan, berfikiran luas dan tidak rigid.
h)   Menerima Ketidakpastian-Merancang dan berusaha bersungguh-sungguh dan hasilnya diserahkan kepada Tuhan.
i)     Bersungguh-sungguh Untuk Mencapai Sesuatu-Keterlibatan untuk mencapai sesuatu bagi tujuan peribadi dan masa yang sama menyumbang kepada masyarakat.
j)     Berfikiran Saintifik-Penggunaan pemikiran saintifik untuk merancang matlamat jangka pendek dan jangka panjang dan pada masa yang sama boleh menerima kemungkinan.
k)    Penerimaan Kendiri-Bersyukur dan menerima diri. Tidak menilai diri kerana faktor luar dan bukan untuk menunjuk-nunjuk atau membuktikan sesuatu.
l)     Berkeupayaan Mengambil  Risiko-Suka mencuba, mengambil risiko yang munasabah, menerima kesilapan.
m)  Kepuasan Jangka Panjang-Sanggup bersusah sekaran demi masa depan.
n)   Menenggelamkan kenikmatan untuk sementara. Terus mengukuhkan diri untuk mencapai visi. Manusia yang cekal dan berjaya.
o)   Sedar Batasan Utopia-Sedar manusia tidak boleh dapat semua yang diingini dan tidak boleh mengelak semua yang tidak disukai.
p)   Bertanggungjawab Terhadap Gangguan Emosi
q)   Setelah permasalahan dapat diuruskan dan tiada ‘perkara yang tergantung”.

Setelah beberapa sesi kaunseling dilakukan, kaunselor akhirnya melihat banyak perubahan positif pada diri klien. Klien mampu mencapai kematangan demi meningkatkan konsep kendirinya. Sesi kaunseling di antara kaunselor akhirnya ditamatkan setelah klien diyakini telah mencapai kesihatan psikologi yang memuaskan.

Kaunseling mungkin berakhir di sini tetapi prosesnya masih berterusan. Klien akan kembali kepada situasi yang membenarkan proses berlaku sepanjang hayat ke arah mencapai kesempurnaan kendiri. Kawalan diri sendiri telah hilang dan proses penilaian organismik unik telah mengambil tempatnya yang betul sebagai penilai pengalaman dan pengawal tingkahlaku.
          
RUJUKAN

1.    KONSEP DAN AMALAN KAUNSELING, NORAINI AHMAD, UTUSAN PUBLICATIONS & DISTRIBUTOR SDN BHD,2004
  
2.    MAAROF REDZUAN & HASLINDA ABDULLAH,PSIKOLOGI,UPM(2008)
  
3.    MAAROF REDZUAN,PSIKOLOGI SOSIAL,UPM(2001) 

               4.    SUMBER DARI INTERNET

http://sudutpsikologi.blogspot.com/2010/09/teori-kaunseling-dan-psikoterapi.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan